Perutusan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Selamat datang ke Portal Sistem ePerolehan, Kementerian Kewangan Malaysia.

Sistem ePerolehan telah dilancarkan pada September 1999 sebagai salah satu Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik dibawah inisiatif MSC Malaysia selaras dengan keperluan bagi mewujudkan satu sistem perolehan Kerajaan yang lebih telus, saksama dan berintegriti. Ini adalah selari dengan perkembangan teknologi maklumat dan kepesatan K-based economy negara. Pelancarannya telah diaksanakan secara menyeluruh dan serentak ke seluruh negara.

Sistem ini telah beroperasi lebih daripada 15 tahun dan telah berjaya mentransformasikan perolehan Kerajaan Persekutuan daripada proses secara manual kepada sistem yang lebih mesra pengguna, cepat dan telus. Pada masa sekarang Sistem ePerolehan memiliki lebih daripada 170,000 pengguna dan ini telah menjadikannya komuniti e-commerce yang terbesar di Asia Tenggara.

Sistem ePerolehan adalah sistem perolehan de facto Kerajaan Persekutuan dan menjadi pendorong kepada perkembangan e-commerce serta telah melonjakkan Malaysia ke era ekonomi digital dan sebagai peneraju sistem perolehan Kerajaan elektronik.

Kejayaan Sistem ePerolehan mentransformasikan proses perolehan Kerajaan telah menarik minat pelbagai negara luar. Setiap tahun perwakilan daripada seluruh pelusuk dunia, antaranya Tanzania, Vietnam, Tajikistan dan China telah hadir untuk mempelajari dan melihat sendiri pelaksanaan Sistem ePerolehan. Pihak Bank Dunia juga telah mengiktiraf Sistem ePerolehan sebagai salah satu sistem perolehan elektronik yang berjaya di dunia.

Selaras dengan pelaksanaan GTP 2.0 yang menitik beratkan ciri keselamatan dan pemantauan yang lebih rapi, sistem yang mudah dikendalikan, ketelusan dan kepertanggungjawaban yang lebih jitu serta keperluan pengguna, Kementerian Kewangan kini sedang membangunkan Sistem ePerolehan baharu yang bakal menggantikan Sistem ePerolehan sedia ada.

Sistem ePerolehan baharu ini adalah berasaskan kepada proses perolehan strategik bagi menggantikan proses perolehan operasi yang diguna pakai oleh Sistem ePerolehan sedia ada. Di samping menawarkan kesemua ciri-ciri Sistem ePerolehan sedia ada, Sistem ePerolehan Baharu turut membolehkan proses perancangan perolehan Kerajaan dilakukan dengan lebih berkesan. Proses pemantauan juga dapat dijalankan dengan lebih terperinci bagi mengawalselia aktiviti pembekal.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat datang kepada para pengunjung dan pengguna ke Portal Sistem ePerolehan bagi mendapatkan informasi terkini mengenai aktiviti Pusat Tanggungjawab (PTj) dan pembekal serta Surat Pekeliling/Surat Edaran berkaitan pelaksanaan Sistem ePerolehan. Di samping itu juga, pengunjung dan pengguna boleh mendapatkan maklumat bagi kesemua modul yang disediakan dalam Sistem ePerolehan ini. Portal ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan kepada tambahan maklumat baharu mengenai perolehan Kerajaan.

Bagi tujuan penambahbaikan portal serta perkhidmatan yang disediakan, maklum balas daripada pengunjung dan pengguna adalah amat dialu-alukan. Sebarang pertanyaan atau cadangan bolehlah disalurkan kepada bantuan@eperolehan.gov.my atau bantuanptj@eperolehan.gov.my.

Sekian, terima kasih.

Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan
Kementerian Kewangan Malaysia

Telah dikemaskinikan pada Kha, 31 Mac 2016 07:10:23 +0800